Thursday, 22 July 2010

Bersama Adik-Adik Kolej Teknologi Timur

Bismillah Ar-rahman Ar-Rahim.

Skuad TIE 2010 makan-makan setelah beraksi di KTT
(tiada dalam gambar-Ahmad Ibrahim Yahya & Mohd Nurhelmi Lokman)


Program pre departure atau nama komersilnya TIE (A Ticket To Egypt) pada tahun ini dibuka tirainya di pusat persediaan Kolej Teknologi Timur di sempadan antara Selangor dan Negeri Sembilan.Seramai 9 orang ahli perubatan telah sudi menjadi tenaga penggerak untuk program sulung ini.

TIE bermula agak lewat daripada waktu yang dijangka iaitu pada jam 10.30 pagi.Majlis dikendalikan oleh Saudara Syafiq Hamdani sebagai pengacara majlis.Slot pertama diisi oleh al-Fadhil Ustaz Fauwaz Fadzil yang merupakan graduan Universiti Al-Azhar.Beliau yang berpengalaman di Mesir selama lebih 9 tahun telah bercakap mengenai perubatan menurut kaca mata Islam.

Majlis diteruskan dengan tajuk Gambaran Kehidupan di Mesir.oleh Saudara Mohd Syafiq Mat Moor,diikuti dengan celoteh berbentuk talk show oleh Saudari Aimi Athirah Azmi Murad dan Saudari Naimah Zakaria.Mereka telah memberikan gambaran secara kasar tentang kehidupan di Mesir,sistem pembelajaran secara ringkas dan perkongsian pengalaman suka dan duka hidup di bumi anbiya'.

Tidak lengkap rasanya jika majlis tidak diserikan dengan pengenalan tentang penganjur iaitu PERUBATAN sendiri.Slot ini telah dikendalikan oleh Saudara Ahmad Ibrahim Yahya dan telah berjaya membangkitkan semangat inkuiri pendengar untuk mendalami kehidupan Mesir dengan lebih lanjut.

Para peserta telah dipecahkan mengikut kumpulan masing-masing untuk aktiviti LDK (latihan dalam kumpulan) sebelum majlis berakhir.Dalam ruangan ini,para peserta berpeluang merungkaikan segala persoalan yang terbuku di benak fikiran,demi persiapan mental dan fizikal sebelum memulakan perjalanan yang panjang di Mesir nanti.

Majlis berakhir sekitar jam 2.00 petang.Sekalung penghargaan diucapkan kepada Ustaz Johari selaku koordinator para peserta di kolej ini.Terima kasih juga kepada semua untuk perkongsian pengalaman yang bermanfaat.Semoga usaha kita bersama mendapat keredhaan Allah dan menjadi titik pertama bermulanya jalinan persahabatan antara ahli PERUBATAN dan para peserta yang akan menjadi sebahagian daripada warga Malaysia di Mesir nanti.

0 comments:

Post a Comment