4 Ogos 2010,Shah Alam,Selangor-Kali ini warga PERUBATAN daripada seluruh negara turun beramai-ramai bagi menjayakan misi TIE di International Education Center atau lebih dikenali sebagai INTEC di Dewan Cemara Seksyen 18, Shah Alam.Baik dari kawasan pantai timur,selatan semenanjung,serta sekitar penempatan di Selangor,semuanya sepakat berkumpul di sana demi mencurahkan bakti kepada adik-adik yang bakal melanjutkan pelajaran di tempat mereka.
Majlis dipengerusikan sendiri oleh pengarah program A Ticket To Egypt pada tahun ini iaitu saudara Mohd Hafiz Hamzah bermula sekitar jam 9.00 malam.Tirai dibuka dengan persembahan multimedia berkaitan PERUBATAN yang dibawakan khas oleh PERUBATAN Cawangan Iskandariah.Berkesinambungan dengan itu,slot seterusnya dikendalikan oleh Saudari Aimi Athirah Azmi Murad dan Saudara Muhammad Nurhelmi Mohd Lukhman yang menerangkan tentang PERUBATAN secara ringkas dan gambaran awal kehidupan di Mesir.Mereka telah cuba merungkaikan persoalan yang diajukan oleh peserta berkaitan persediaan sebelum ke Mesir umumnya.Kedua-duanya merupakan mahasiswa/i tahun 4 Kuliah Perubatan Universiti Kaherah.
Satu kelainan untuk slot kedua berbanding TIE di pusat-pusat persediaan sebelum ini,TIE di INTEC berjaya menampilkan 3 orang bekas graduan Mesir, antara ahli yang begitu komited dengan PERUBATAN di zaman pengajian mereka di Mesir.Mereka yang sudah bergelar doktor pelatih ini ialah Dr.Iqbal Munawwir Abdul Rashid(Universiti Kaherah,kini di Hospital Putrajaya),Dr Mohd Husmar Israq Husin(Universiti Ain Shams,kini di Hospital Kajang) dan Dr Noor Aniah Azmi (Universiti Kaherah,kini di Hospital Serdang).Slot yang ditunggu-tunggu ini diadakan dalam bentuk forum bersama Saudara Mohd Nazrul Syazwan sebagai moderator yang merupakan mahasiswa Tahun Akhir Kuliah Perubatan Universiti Kaherah.Perkongsian bersahaja berkaitan pengalaman dan sembang-sembang yang sarat dengan nasihat berjaya menarik tumpuan para peserta dan fasilitator yang hadir
Bagi mewarnai majlis,para peserta telah disajikan dengan satu lagi tayangan video berkaitan pengenalan sebuah negara Mesir.Rata-rata para peserta sangat teruja dengan video yang ditayangkan serta tentunya makin bersemangat untuk menjejakkan kaki dan menghirup udara di sana.
Tidak lengkap rasanya pertemuan senior dan junior jika tidak dikumpulkan dalam bentuk kumpulan kecil supaya segala bentuk persoalan yang terbuku dapat dirungkai oleh para fasilitator.Hal ini juga merupakan titik permulaan untuk mereka menjalinkan hubungan akrab dengan lebih efektif.
Masa yang begitu mencemburui pertemuan kali ini memaksa para fasilitator untuk menamatkan sembang-sembang manfaat mereka sekalipun masih banyak yang ingin diajukan oleh para peserta.Program tamat sekitar jam 11.40 malam dan diakhiri dengan jamuan ringan yang disediakan pihak INTEC untuk tenaga penggerak yang hadir.
Sekalung penghargaan dan ucapan Jazakumullah Khairan Jaza' diucapkan kepada pihak INTEC khususnya Puan Umiatun Puziah Yeop, selaku Core Person Middle East Program atas kesudian menerima kami sebagai tetamu dan merealisasikan niat kami untuk membantu adik-adik menyiapkan diri sebelum langkah yang lebih jauh diteruskan.Terima kasih juga kepada para peserta yang memberikan kerjasama yang terbaik,moga kita berjumpa pula di Mesir selepas ini sebagai mahasiswa bidang sains kesihatan.PERUBATAN juga mengucapakan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada ahli yang sudi menyumbang tenaga dalam menjayakan misi TIE pada siri ini.Moga jasa kalian dibalas oleh Allah dengan balasan terbaik dunia dan akhirat.