Pages

    Sunday 15 August 2010

    Kemeriahan Di INTEC

    4 Ogos 2010,Shah Alam,Selangor-Kali ini warga PERUBATAN daripada seluruh negara turun beramai-ramai bagi menjayakan misi TIE di International Education Center atau lebih dikenali sebagai INTEC di Dewan Cemara Seksyen 18, Shah Alam.Baik dari kawasan pantai timur,selatan semenanjung,serta sekitar penempatan di Selangor,semuanya sepakat berkumpul di sana demi mencurahkan bakti kepada adik-adik yang bakal melanjutkan pelajaran di tempat mereka.

    Majlis dipengerusikan sendiri oleh pengarah program A Ticket To Egypt pada tahun ini iaitu saudara Mohd Hafiz Hamzah bermula sekitar jam 9.00 malam.Tirai dibuka dengan persembahan multimedia berkaitan PERUBATAN yang dibawakan khas oleh PERUBATAN Cawangan Iskandariah.Berkesinambungan dengan itu,slot seterusnya dikendalikan oleh Saudari Aimi Athirah Azmi Murad dan Saudara Muhammad Nurhelmi Mohd Lukhman yang menerangkan tentang PERUBATAN secara ringkas dan gambaran awal kehidupan di Mesir.Mereka telah cuba merungkaikan persoalan yang diajukan oleh peserta berkaitan persediaan sebelum ke Mesir umumnya.Kedua-duanya merupakan mahasiswa/i tahun 4 Kuliah Perubatan Universiti Kaherah.

    Satu kelainan untuk slot kedua berbanding TIE di pusat-pusat persediaan sebelum ini,TIE di INTEC berjaya menampilkan 3 orang bekas graduan Mesir, antara ahli yang begitu komited dengan PERUBATAN di zaman pengajian mereka di Mesir.Mereka yang sudah bergelar doktor pelatih ini ialah Dr.Iqbal Munawwir Abdul Rashid(Universiti Kaherah,kini di Hospital Putrajaya),Dr Mohd Husmar Israq Husin(Universiti Ain Shams,kini di Hospital Kajang) dan Dr Noor Aniah Azmi (Universiti Kaherah,kini di Hospital Serdang).Slot yang ditunggu-tunggu ini diadakan dalam bentuk forum bersama Saudara Mohd Nazrul Syazwan sebagai moderator yang merupakan mahasiswa Tahun Akhir Kuliah Perubatan Universiti Kaherah.Perkongsian bersahaja berkaitan pengalaman dan sembang-sembang yang sarat dengan nasihat berjaya menarik tumpuan para peserta dan fasilitator yang hadir

    Bagi mewarnai majlis,para peserta telah disajikan dengan satu lagi tayangan video berkaitan pengenalan sebuah negara Mesir.Rata-rata para peserta sangat teruja dengan video yang ditayangkan serta tentunya makin bersemangat untuk menjejakkan kaki dan menghirup udara di sana.

    Tidak lengkap rasanya pertemuan senior dan junior jika tidak dikumpulkan dalam bentuk kumpulan kecil supaya segala bentuk persoalan yang terbuku dapat dirungkai oleh para fasilitator.Hal ini  juga merupakan titik permulaan untuk mereka menjalinkan hubungan akrab dengan lebih efektif.

    Masa yang begitu mencemburui pertemuan kali ini memaksa para fasilitator untuk menamatkan sembang-sembang manfaat mereka sekalipun masih banyak yang ingin diajukan oleh para peserta.Program tamat sekitar jam 11.40 malam dan diakhiri dengan jamuan ringan yang disediakan pihak INTEC untuk tenaga penggerak yang hadir.

    Sekalung penghargaan dan ucapan Jazakumullah Khairan Jaza' diucapkan kepada pihak INTEC khususnya Puan Umiatun Puziah Yeop, selaku Core Person Middle East Program atas kesudian menerima kami sebagai tetamu dan merealisasikan niat kami untuk membantu adik-adik menyiapkan diri sebelum langkah yang lebih jauh diteruskan.Terima kasih juga kepada para peserta yang memberikan kerjasama yang terbaik,moga kita berjumpa pula di Mesir selepas ini sebagai mahasiswa bidang sains kesihatan.PERUBATAN juga mengucapakan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada ahli yang sudi menyumbang tenaga dalam menjayakan misi TIE pada siri ini.Moga jasa kalian dibalas oleh Allah dengan balasan terbaik dunia dan akhirat.

    Tuesday 27 July 2010

    Kolej Shahputra Dengan Layanan Istimewa

    25 JULAI 2010,Kuantan Pahang-Rombongan fasilitator meneruskan perjalanan TIE 2010 ke pekan Kuantan Pahang untuk bersama adik-adik di Kolej Shahputra.Biarpun berganti ahli,seramai 5 orang fasilitaor berjaya ditampilkan PERUBATAN demi meneruskan misi orientasi predeparture ini kepada 22orang peserta lelaki dan 28orang peserta perempuan.

    Program bermula sekitar jam 9.30 pagi biarpun agak lewat daripada waktu yang dirancang.Kali ini majlis dimulakan oleh Saudari Nur Farhana Abdul Ghani,Tahun 3 Universiti Kaherah sebagai pengendali majlis.Tayangan multimedia oleh PERUBATAN Cawangan Iskandariah mengisi bahagian awal slot sebagai meraikan para peserta yang bakal melanjutkan pengajian ke Universiti Iskandariah nanti.Saudari Tengku Zahidah Tengku Zainal Abidin,Tahun 3 Universiti Kaherah menjadi moderator antara para peserta dan 3 orang ahli panel dalam slot Talk Show.Dengan gaya bahasa yang menghiburkan,Saudari Zahidah berjaya menarik perhatian para peserta untuk terus ternanti-nanti dan tertanya-tanya persoalan yang bakal dirungkaikan oleh ahli panel.

    Saudari Ummi Sakinah Abdul Kadir,Saudara Syafiq Hamdani,dan Saudari Natrah Ahmad Kamil masing-masing mengambil kesempatan berkongsi tentang kelebihan bidang perubatan di Mesir,gambaran awal kehidupan di Mesir,dan penerangan secara ringkas Persatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia Mesir(PERUBATAN).Mereka merupakan mahasiswa/i Tahun 4 Universiti Kaherah.

    Program diteruskan dengan slot LDK dengan membahagikan para peserta kepada 5 kumupulan bersama seorang fasilitator.Seperti para peserta di Kolej Teknologi Timur(KTT) dan Institut Kemahiran Ikhtisas Pahang(IKIP),demikian jugalah kesungguhan para peserta di Kolej Shahputra ini.Persoalan yang terbuku di hati telah diluahkan demi mempersiapkan diri sebelum memulakan perjalanan yang panjang di Ardhul Kinanah nanti.Program berakhir sekitar jam 2.00 petang dan dilengkapkan dengan jamuan istimewa untuk para fasilitaor daripada tuan rumah.

    Terima kasih yang tidak terhingga dirakamkan buat Ustaz Asmadi,Ustaz Azwan,dan Ustaz Nasril di atas segala kerjasama yang dihulurkan seawal program ini dirancang.Kesungguhan kalian dan para peserta di sana menjadi pemangkin kepada  PERUBATAN untuk bersama-sama menjadi tenaga penggerak dalam menyediakan para peserta secara fizikal dan mental,agar dapat memulakan dan menamatkan pengajian perubatan di Mesir dengan cemerlang dari sudut akhlak dan akademik.Maaf dipohon atas segala kekurangan dari pihak kami,semoga berpeluang bertemu di masa akan datang.InsyaAllah.

    Kepada adik-adik,semoga masa yang diperuntukkan sedikit sebanyak dapat merungkaikan pertanyaan yang bermain di benak fikiran.Selamat melangkah ke alam yang lebih dewasa dan mendewasakan,jumpa di sana InsyaAllah!

    Monday 26 July 2010

    Cherating Bay Resort Destinasi Pilihan

    24 JULAI 2010,Kuantan Pahang-Kali ini  skuad TIE 2010 turun padang untuk bersama dengan  peserta dari Institut Kemahiran Ikhtisas Pahang(IKIP) yang mengikuti Kursus Intensif  Bahasa Arab (KIBA) di Cherating Bay Resort,Pahang.Seakan sedang dalam rombongan percutian,suasana di sana nyaman sekali di waktu petang dengan tiupan bayu laut yang mendamaikan.Seramai 20 orang peserta lelaki dan 30 orang peserta perempuan menyertai progam pada kali ini.

    Program secara rasminya bermula sekitar jam 9.30 malam di dewan serbaguna di sana.Adik Syukri sebagai pengendali majlis telah membuka tirai orientasi ringkas predeparture tersebut,seterusnya menjemput kelima-lima fasilitator untuk tampil kehadapan.

    Program diteruskan oleh Saudari Siti Baizura Zakaria,mahasisiwi Tahun 4 Universiti Kaherah sebagai pengerusi majlis.Persembahan multimedia yang didatangkan khas oleh PERUBATAN Cawangan Iskandariah di awal slot berjaya mendapat respon yang menggalakkan daripada para peserta.

    Saudari Faten Farhana Salleh,mahasiswi Tahun 3 Universiti Kaherah bijak menyusun kata-kata sebagai moderator Talk Show bersama 3 orang ahli panel yang lain.Saudari Ummi Sakinah Abdul Kadir secara santai berkongsi pengalaman bersama adik-adik tentang kelebihan bidang perubatan di Mesir.Saudara Syafiq Hamdani yang merupakan wakil tunggal mahasiswa pada malam itu telah memberikan gambaran awal tentang kehidupan di Mesir dari sudut budaya,geografi,makanan ruji dan sebagainya.Ahli panel yang terakhir ialah Saudari Natrah Ahmad Kamil secara ringkas menerangkan tentang sturuktur organisasi PERUBATAN sebagai pendedahan awal kepada mereka yang bakal menjadi ahlinya nanti.Kesemua ahli panel merupakan mahasiswa/i tahun 4 Universiti Kaherah.

    Program diteruskan dengan slot terakhir iaitu LDK atau latihan dalam kumpulan.Para peserta dipecahkan kepada 5 kumpulan bersama seorang fasilitator.Program tamat pada waktu di luar jangkaan iaitu sekitar jam 12.30 malam memandangkan adik-adik seolah-olah tidak mahu melepaskan peluang bersama para fasilitaor masing-masing.Kesungguhan yang ditunjukkan mereka amat mengagumkan dan diakui oleh para fasilitator.Biarpun agak penat seharian,masing-masing meluahkan rasa puas kerana dapat menyumbang dan berkongsi pengalaman,tambahan pula mendapat komitmen yang terpuji daripada para peserta.

    Terima kasih diucapkan kepada Ustaz Rashimi,Ust Muin dan En. Bakri kerana memberi peluang kepada kami berada di sini.Segala kerjasama dan kesudian pihak kalian kami ucapkan Jazakumullah khairan kathiran.Kepada adik-adik yang bakal menjejakkan kaki ke bumi anbiya' ini,selamat membuat persediaan terakhir,dari segi mental dan fizikal.Selamat memulakan langkah sebagai mahasiswa bidang perubatan,jumpa di sana insyaAllah!

    Thursday 22 July 2010

    Bersama Adik-Adik Kolej Teknologi Timur

    Bismillah Ar-rahman Ar-Rahim.

    Skuad TIE 2010 makan-makan setelah beraksi di KTT
    (tiada dalam gambar-Ahmad Ibrahim Yahya & Mohd Nurhelmi Lokman)


    Program pre departure atau nama komersilnya TIE (A Ticket To Egypt) pada tahun ini dibuka tirainya di pusat persediaan Kolej Teknologi Timur di sempadan antara Selangor dan Negeri Sembilan.Seramai 9 orang ahli perubatan telah sudi menjadi tenaga penggerak untuk program sulung ini.

    TIE bermula agak lewat daripada waktu yang dijangka iaitu pada jam 10.30 pagi.Majlis dikendalikan oleh Saudara Syafiq Hamdani sebagai pengacara majlis.Slot pertama diisi oleh al-Fadhil Ustaz Fauwaz Fadzil yang merupakan graduan Universiti Al-Azhar.Beliau yang berpengalaman di Mesir selama lebih 9 tahun telah bercakap mengenai perubatan menurut kaca mata Islam.

    Majlis diteruskan dengan tajuk Gambaran Kehidupan di Mesir.oleh Saudara Mohd Syafiq Mat Moor,diikuti dengan celoteh berbentuk talk show oleh Saudari Aimi Athirah Azmi Murad dan Saudari Naimah Zakaria.Mereka telah memberikan gambaran secara kasar tentang kehidupan di Mesir,sistem pembelajaran secara ringkas dan perkongsian pengalaman suka dan duka hidup di bumi anbiya'.

    Tidak lengkap rasanya jika majlis tidak diserikan dengan pengenalan tentang penganjur iaitu PERUBATAN sendiri.Slot ini telah dikendalikan oleh Saudara Ahmad Ibrahim Yahya dan telah berjaya membangkitkan semangat inkuiri pendengar untuk mendalami kehidupan Mesir dengan lebih lanjut.

    Para peserta telah dipecahkan mengikut kumpulan masing-masing untuk aktiviti LDK (latihan dalam kumpulan) sebelum majlis berakhir.Dalam ruangan ini,para peserta berpeluang merungkaikan segala persoalan yang terbuku di benak fikiran,demi persiapan mental dan fizikal sebelum memulakan perjalanan yang panjang di Mesir nanti.

    Majlis berakhir sekitar jam 2.00 petang.Sekalung penghargaan diucapkan kepada Ustaz Johari selaku koordinator para peserta di kolej ini.Terima kasih juga kepada semua untuk perkongsian pengalaman yang bermanfaat.Semoga usaha kita bersama mendapat keredhaan Allah dan menjadi titik pertama bermulanya jalinan persahabatan antara ahli PERUBATAN dan para peserta yang akan menjadi sebahagian daripada warga Malaysia di Mesir nanti.